Monday, September 21, 2009

Sekolah X-MEN

Saya ingin tinggalkan sementara tentang Idulfitri. Bukan kerana saya tidak mahu atau tiada semangat atau jauh sekali tidak bersyukur atas nikmat yang besar itu. Idulfitri, andai semua muslim mengerti, nescaya mereka akan menghargainya sebagai dihargai oleh Rasulullah SAW.

Syawal banyak kenangan bagi saya. Malah bagi semua orang saya kira. Namun, ini kenangan saya. Sementelah ia adalah sempadan dan laman saya untuk menitip dan menulis apa sahaja.

Baru sebentar tadi saya melihat tayangan filem sempena Idulfitri - X-MEN The Last Stand. Apa yang saya ingin bangkitkan di sini, bukan tentang kecanggihan CGI atau kesan khas yang hebat itu - kerana bagi saya ia masih boleh dipertingkatkan lagi. Tapi ada semacam aliran semangat yang terbit dan terpancar. Dan aliran semangat itu mengingatkan saya tentang kenangan Syawal.

Seorang sahabat, walapun saya mengenalinya lewat laman chat dan medium emel, namun saya akui saya memang akrab dengannya. Seorang yang sentiasa ceria, positif dan aktif. Dan sememangnya layaklah dia menjawat jawatan utama di sebuah syarikat telekomunikasi negara. Sayangnya, semangat yang ada padanya bersemadi begitu sahaja. Dia terkorban dalam satu nahas kemalangan jalan raya tidak berapa lama dulu. Saya tidak ingat tarikhnya. Namun saya yakin, suaminya dan anaknya tidak akan dapat melupakan tarikh itu. Dan apa yang lebih bermakna kenangan dan memori yang ditinggalkannya.

Sebagai kawan, sementelah hanya dengan perantara emel, saya sendiri semacam merasai kemesraan dan keharmonian berbicara dengannya. Almarhumah memang seorang peramah. Seorang aktivis yang cergas. Saya sendiri merasa malu, setiap kali berutus emel, saya sering mengungkapkan nota-nota yang bersemangat tentang perjuangan. Tapi ternyata, dirinya lebih terkehadapan dari saya dalam tindakan. Saya tidak pasti, adakah kata-kata dan tulisan saya itu ada menyumbangkan sesuatu kepada tindak dan amalannya. Begitu, saya merasa bangga dengannya.

Apa yang paling saya terkesan dan terasa, dia pernah berkata begini kepada saya: 'ana bercita-cita untuk membina sebuang bangunan dan menjadikannya sebuah sekolah.'

Saya lihat tampang sekolah Xavier dalam X-MEN. Dan saya teringat tentang hasratnya. Lalu saya terfikir kenapa semangat besar dalam jiwa besar seperti itu ditamatkan begitu awal sebelum menjadi kenyataan? Apa yang pasti, hikmah dan takdir Allah melebihi segala keraguan manusia yang lemah.

Sempena Idulfitri yang berkah ini, saya menyedekahkan al Fatihah buat almarhumah.

Semoga rohnya dicucuri rahmat Allah.

Dan semoga suatu masa, hasrat yang terhenti akan berjalan semula.

Saturday, September 19, 2009